KUIH BADAK BERENDAM CARA TOK ANUM RESEPI ZAMAN BERZAMAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua sahabat Nurulsham.  Hari ini Nurulsham sempat 'teropong' satu lagi resepi tradisional yang Tok Anum buat sepanjang bulan Ramadhan untuk tempahan majlis berbuka puasa dan untuk jualan di pasar Ramadhan.

Nurulsham belanja gambar Tok Anum sedang buat kuih
warisan ni. ❤☺☺☺.

Kata Tok Anum, kuih ini orang Parit panggil Badak Berendam atau Puteri Mandi. Tetapi, setahu Nurulsham badak berendam ada inti di dalamnya. Puteri Mandi pula di luarnya bersalut kelapa parut dimasak dengan gula merah.

Jadi, menghormati peninggalan warisan orang-orang di sana, Nurulsham akan ambil namanya sebagaimana yang Tok Anum sebutkan. Harapan Nurulsham, tiadalah pertikaian di sini..ya.

Perlulah Nurulsham ingatkan, resepi orang tua-tua ini, jarang-jarang ada ukurannya. Cara mereka menilai adunan dah elok atau belum adalah melalui deria rasa seperti memicit, menyentuh, merasa dan sebagainya. Nurulsham harap anda bersabar, ya!

Baiklah, jom tengok bahan-bahannya.  ☺☺☺☺

santan pekat secukupnya
gula secukupnya
  1. Tepung pulut 1 kg
  2. Tepung gandum 1 cawan sebagai pelekat
  3. Daun pandan 5 helai ditumbuk dan diambil airnya.
  4. Air secukupnya (Tok Anum tunjukkan koleh yang biasa dia gunakan untuk bancuh kopi)
  5. Gula secukupnya
  6. Santan secukupnya
  7. Sedikit garam
Cara-caranya:

Cara yang Tok Anum gunakan memang autentik. Selama ini Nurulsham lihat doh kecil-kecil puteri mandi  ini biasanya di rebus dalam air mendidih hingga timbul baru diangkat (macam kuih buah melaka), tetapi.... cara Tok Anum sangat berlainan dan sangat menyedapkan. (Ini rahsia sebenarnya!!!) 

Orang-orang tua di sana yang ajar begini, menurut beliau. Jom kita tengok ya.


1.   1 kg tepung pulut + tepung gandum secawan digaul
 dengan air pandan dan air biasa  yang ditambah
sedikit semi sedikit. Gaul hingga semua tepung
sebati dan melekat antara satu sama lain.

1.1.  Setelah itu mulalah menguli tetapi perlahan-lahan sahaja.
Tidak perlu uli kuat seperti uli roti pula, ya.

1.2 .  Atas - ambil air sedikit-sedikit untuk lembutkan doh

gambar sebelah bawah  -  koleh kopi Tok Anum

1.3. Tambahkan air sedikit demi sedikit degan cara rendam
 tangan dalam air dan kemudian  uli lagi doh anda. Tepung
pulut ini sangat mudah rapuh (tidak melekat sesamanya)
bila kurang air.

1.4.  Pesan Tok Anum, jangan terlebih air pula kerana doh
akan jadi liat dan kembang selepas dimasak nanti

2 . Bulat-bulatkan doh seperti dalam gambar. Lihat doh anda tidak
rapuh atau retak. Kalau ada retak, doh tak cukup air


3. Picit bahagian atas doh dengan hujung jari. Tujuannya adalah
supaya kuih anda nanti timbul sedikit seperti sampan dalam air.
Selain itu, lubang ini juga boleh menakung kepala santan
yang sedap, manis dan lemak nanti.


4. Susun doh kecil comel ini dalam loyang yang telah ditabur
gula secukupnya

Nota- maksudnya, cara tradisi ini tidak menggalakkan anda
 mengacau gula. Hanya biar rasa manis itu sebati sendiri
melalui proses pemanasan, resapan dan perolakan sewaktu
 dikukus.

Inilah yang membezakan cara Tok Anum dan cara orang lain.
Cara yang biasa digunakan, doh dimasak dalam air mendidih,
kemudian barulah dicampur dengan kuah santan yang dimasak
berasingan

nota- lihat gula di dasar loyang

5. Tambahkan kepala santan + garam  (maksud Tok Anum,
 santan pekat) dan kukus sehingga kepala santan
memekat naik tetapi  jangan hingga pecah minyak.

Nota- maaf, Nurulsham tiada gambar kuih ini yang dan
siap sebab Nurulsham terpaksa balik awal dari rumah
Tok Anum.

Setelah siap, bolehlah dicedok ke dalam mangkuk dan dinikmati panas atau sejuk.

Selamat mencuba!


Komentar

Postingan populer dari blog ini

Resepi Biskut Buah Kana Sedap Mudah Sukatan Cawan

Resepi Biskut Kacang Hijau Sukatan Cawan Sedap Mudah

Resepi Biskut Arab Pelangi Sukatan Cawan