TEMUJANJI DOKTOR PSIKIATRI KALI PERTAMA~APAKAH SOALAN YANG AKAN DITANYA

Tulisan ini adalah sambungan dari Anxiety Disorder dan Tanggapan Masyarakat 2

Assalamualaikum sahabat Nurulsham semua,

Hari ini Nurulsham akan ceritakan pengalaman pertama kali bertemu doktor psikiatri. Uniknya di unit ini, kita akan sentiasa dirujuk pada doktor yang sama. Jadi Nurulsham merasa amat selesa kerana tidak perlu bercerita semula setiap kali berjumpa doktor, kerana doktor telah mengenali pesakitnya.

Hari pertama Nurulsham sampai di situ, Nurulsham diperiksa oleh Dr. Kala, seorang doktor berbangsa India yang berwajah manis. Orangnya masih muda dan sedang hamil anak pertama.

Mulanya, dia kelihatan hairan melihat Nurulsham, kerana jika dilihat dari luaran, Nurulsham tidak kelihatan seperti pesakit yang lain.

Waktu itu, Nurulsham ditemani suami. Suami Nurulsham tidak mengizinkan pada mulanya. Namun, Nurulsham telah berbincang dengannya, dan menegaskan bahawa Nurulsham sendiri telah memilih untuk menerima rawatan psikiatri, dan sanggup menerima apa jua kesan dari pilihan Nurulsham ini. Nurulsham nekad, dan memberi pilihan pada suami supaya dia tidak tertekan dan mungkin menyesal dengan apa yang bakal berlaku.

Nurulsham berkata, suami boleh memilih untuk menyertai Nurulsham atau tidak. Jika ya, dia harus ada setiap kali Nurulsham bertemu doktor. Jika suatu masa nanti, dia rasa keadaan Nurulsham tidak sembuh-sembuh juga, malahan menjadi beban padanya, Nurulsham rela dilepaskan dengan baik dan sanggup berlapang dada.

Suami Nurulsham tidak menjawab. Mungkin hal ini berat baginya. Namun, sehingga hari ini, dialah yang menghantar dan turut berjumpa doktor setiap kali ada temujanji. Nurulsham sangat bersyukur, namun masih sedia menerima apa-apa kemungkinan yang bakal tiba.

Boleh dikatakan, bulan pertama Nurulsham bertemu doktor, suami Nurulsham kerap terpaksa ambil cuti... sehingga dua  hari seminggu...  namun, dia tidak berkata apa-apa tentang hal itu. Merungut pun tidak.

Waktu inilah, Nurulsham berasa seperti mendapat satu kekayaan yang tidak terhingga. Kasih sayang dan perhatian dari keluarga, terutamanya suami. Rupa-rupanya, dugaan ini tidak datang kosong. Ia datang dengan kebahagiaan hati.

Dr. Kala bertanya tentang situasi Nurulsham. Kami pun bercerita satu persatu apa yang telah terjadi, termasuk serangan-serangan yang pernah berlaku.

Kata Dr. Kala, salah sebenarnya menggunakan perkataan 'serangan'. Ia sebenarnya adalah debaran jantung, bukan serangan jantung. Nurulsham pun menceritakan tentang heart pounding, ataupun rasa jantung berdegup kuat sehingga Nurulsham ada kalanya tidak sedar diri. Waktu itu, Dr. Kala kelihatan berfikir panjang.

Nurulsham memberitahu bahawa kebelakangan ini Nurulsham nampak yang isi-isi tapak tangan Nurulsham seperti tenggelam bila terjadinya debaran. Waktu itu Dr. Kala membetulkan Nurulsham, "Itu bukannya tenggelam...  itulah sebenarnya kekejangan. Kalau dah kejang, penyakit puan dah teruk."

Nurulsham juga bercerita tentang keadaan diri Nurulsham yang kerap jadi pelupa sejak kebelakangan ini. Dr. Kala memberi ujian Dementia pada Nurulsham. Dalam ujian itu, Nurulsham diminta melukis kotak, bulatan, membaca nombor dan sebagainya. Syukurlah, waktu itulah Nurulsham diberitahu yang Nurulsham tiada masalah Dementia. (sila rujuk web untuk mengetahui maksud Dementia).

Dr. Kala kemudiannya memberi ujian untuk Depression. Antara soalan ditanya termasuk, adakah Nurulsham rasa tertekan bila berhadapan dengan orang ramai, sering rasa tidak bersemangat hidup, tidak boleh bercakap di hadapan orang ramai dan sebagainya. Setelah disoal selidik, syukurlah.... Nurulsham juga tiada masalah Depression.

Waktu itu suami Nurulsham memberitahu, ada sesuatu yang dilihatnya sering terjadi pada Nurulsham. Sebagai seorang yang paling rapat, dia kerap melihat Nurulsham meminta untuk pulang cepat ke rumah tatkala keluar berjalan-jalan. Nurulsham juga tidak suka buat sesuatu kerja lama-lama. Bila agak lama, Nurulsham akan cepat lemas dan hilang mood.

Waktu itulah Dr. Kala memandang Nurulsham, dan bertanya, apa puncanya Nurulsham jadi begitu. Nurulsham tidak dapat menjawab, kerana memang tidak pasti. Cuma Nurulsham beritahu doktor, Nurulsham rasa letih sangat.

Lalu Dr. Kala berkata, "Dari tadi, saya perasan, puan kerap sebut perkataan penat. Cuba puan beritahu, di mana yang rasa penat tu?"

Nurulsham termenung seketika. Ya lah, selama ini Nurulsham rasa letih sangat. Selain dari sebab debaran, apa lagi yang membuatkan Nurulsham rasa begitu.

Dr. Kala meminta Nurulsham berfikir dan mencari dengan bersungguh-sungguh. Lalu kala itu, barulah Nurulsham perasan sesuatu, "Saya jadi lemas dan tak tahan tu, bila tulang belakang saya sakit sangat."

"Takkan selama ni tak perasan?" dia bertanya kehairanan sambil memerhati suami Nurulsham.

Suami menggeleng kepala. Wajahnya nampak bersalah, "Selama ini saya memang ingat isteri saya ada masalah jantung... ."

Kemudian Dr. Kala berkata, "Saya nak puan pergi ke klinik kesihatan, minta referal letter untuk ke orthopaedics. Kalau boleh buat MRI tulang belakang."  Dia kelihatan bersungguh-sungguh bila berkata. "Saya perlu tahu, yang mana mula dahulu. Adakah sakit di tulang belakang menyebabkan terjadinya anxiety, ataupun anxiety yang menyebabkan sakit belakang."

Waktu itulah, Nurulsham hairan sangat. Anxiety boleh menyebabkan sakit belakang?

"Ya, jangan terkejut puan, anxiety boleh menyebabkan timbulnya penyakit lain... ."

"Puan ni dah lama sakit. Memang tak mustahil perkara begini boleh terjadi."

Setelah dua jam pemeriksaan, Dr. Kala memberitahu bahawa Nurulsham mungkin mempunyai samada  penyakit panic disorder atau anxiety disorder. Menurutnya, kedua-dua penyakit itu symptomnya hampir sama namun sebenarnya penyakitnya berbeza. Dalam panic disorder, pesakit akan rasa sangat takut. Nurulsham ada symptom panic attack, namun Nurulsham tidak mengalami rasa takut seperti yang dikatakan itu.

Lalu Dr. Kala mencadangkan ubat fluvoxamine 50 g, dengan jadual makannya yang tertentu. Kes Nurulsham masih perlu disiasat lebih dalam melalui pemeriksaan yang doktor cadangkan. Nurulsham telah mendapat referal untuk ke klinik ENT untuk memeriksa telinga dan otak, ke occupational therapy untuk belajar senaman stress, ke kaunselor untuk memeriksa apakah yang menyebabkan terjadinya serangan seakan-akan panic attack, dan ke orthopaedics untuk memeriksa tulang belakang seterusnya ke fisiotherapy.

Inilah yang menyebabkan suami Nurulsham harus ambil cuti atau mencari penggantinya untuk sessi pagi, kerana harus menghantar Nurulsham disamping berbincang dengan doktor.

Selepas ini Nurulsham akan membincangkan tentang pengambilan ubat, dan memecahkan taboo tentang pengambilan ubat penenang yang cuba dielakkan kebanyakan pesakit.

Sekian dulu untuk kali ini. Semoga bermanfaat untuk anda semua. Wassalam.

Sambung baca di sini. Klik anxiety-disorder-ubatan-dan-terapi

Di sini Nurulsham sertakan satu carta yang menunjukkan bagaimana
penyakit anxiety disorder yang terbiar lama boleh membawa kepada penyakit-penyakit lain.


Komentar

Postingan populer dari blog ini

Resepi Biskut Buah Kana Sedap Mudah Sukatan Cawan

Resepi Biskut Kacang Hijau Sukatan Cawan Sedap Mudah

Resepi Biskut Arab Pelangi Sukatan Cawan