CARA BUAT BAHULU MACAM ORANG DULU-DULU.

Nak cuba buat bahulu macam orang dulu-dulu, tak? Jom saya turunkan resepi mak saya, yang saya guna sampai hari ni. Insya Allah, rasa dia lain dari bahulu yg dibeli.Amaran- bahan2 tak cerewet, cuma telur, tepung dan gula... tapi proses membuatnya cerewet juga, maklumlah nak dapat rasa yang autentik tu.


Mula-mula, tepung digoreng tanpa minyak dengan api perlahan. Jaga-jaga nanti hangit. Rajin-rajin kacau no...
-Kata mak saya, nak tahu tepung dah elok kering , kita nampak debu-debu tepung tu melayang, maksudnya jadi ringan sebab dah cukup kering. Saya pula tambah satu petua lagi. Tepung yang baru digoreng dan masih mentah, baunya macam klorin. Sefaham saya, memang tepung diputihkan (bleached) sebab tu berbau klorin. Goreng sampai hilang bau tu dan timbul bau wangi.
-Ada orang jemur tepung ni untuk keringkan, tapi saya tak pernah buat. Kalau nak cuba boleh juga, tapi pastikan hari betul2 panas dan tak ada burung terbang atau haiwan lain lalu kat atas tepung yang dijemur tu.

-Nota penting- Kalau tepung betul2 kering, bahulu boleh tahan lebih dari sebulan, insya Allah.

Kemudian, sukat gula dan telur sama banyak. Maksudnya, kalau gula secawan, telur pun secawan. Telur ni cuba cari yang baru. Nak tahu, pecahkan sebiji dan tengok kuning telur tak pecah. Nampak cantik seketul. Telur baru ni, boleh juga kita check dengan cara direbus sebiji. Kalau kulit melekat masa kopek, maksudnya itu telur baru. Nota penting! --- Jangan pakai telur gred A. Telur ni besar sangat dan telur putihnya banyak, jadi air banyak dan bahulu jadi melekat pada acuan. Telur itik dan ayam kampung paling elok, tapi mahal kan? Apa yang saya biasa buat, saya cari telur gred c yang baru. Alhamdulillah, hasilnya memang cantik dan harganya pun murah juga bagi orang yang minat berniaga bahulu secara komersial.
Pukul telur dan gula sampai kembang. Petua nak tahu telur dah kembang, angkat pemukul telur dan tengok cara telur tu jatuh. Kalau dia jatuh laju, maksudnya belum kembang. Lagi satu, boleh juga ambil sudu dan gariskan permukaan telur yg kembang tadi. Kalau garisan tadi tak bertaup semula, kekal, maksudnya telur dan cukup kembang.
Boleh saja digunakan mixer, tapi kalau nak lagi sedap bolehlah dicuba pukul telur pakai penimbuk macam tok kita dulu2.... Saya hanya cadangkan tapi sendiri tak sanggup buat.... hehe.
Tiba giliran untuk masukkan tepung, ni kena berhati-hati lebih sikit. Pastikan tepung tadi dah sejuk. Kalau tepung panas, saya pernah kena dah, telur tu jadi macam masak bila kena tepung. Ingat ya...
Ayak satu senduk tepung guna penapis ke dalam adunan telur dan gula yang kembang tadi. Kemudian, kaup (kaup tak sama dengan kacau, sila ambil perhatian) adunan perlahan-lahan supaya bercampur elok. Kemudian, ayak lagi satu senduk tepung dan ulang kaup adunan untuk mencampur. Masa ni tak boleh kasar. Sebab bahulu lama tak pakai baking soda, kita kena jaga udara dalam telur yang kembang itu supaya tak banyak terlepas keluar. Perhatikan permukaan adunan tadi.
Ambil spatula dan sapu atas permukaan adunan. Kalau licin, boleh ayak tepung lagi sehinggalah bila disapukan spatula sekali lagi, kita nampak adunan itu bersarang halus2. Nota ---Kalau sarangnya besar, adunan belum cukup tepung. Kalau tak bersarang langsung dan nampak liat, adunan dah bantat.
Kata mak saya, biasanya kalau telur secawan, tepungnya lebih kurang secawan juga. Tapi, masih kena check rupa adunan tu bersarang atau tidak untuk pastikan bahulu jadi elok.
Masa saya baru belajar dulu, saya campurkan adunan sedikit2 dan tengok rupa sarangnya. Pakai mangkuk kecil dan masukkan adunan telur kembang tadi

sesenduk dua saja. Tepung dalam dua sudu, masih kena ayak. Lepas tu masuk dalam acuan dan bakar. Anda boleh juga cuba sedikit dulu. Kalau dah yakin baru boleh buat banyak sekali.
Dah siap, panaskan acuan dalam oven dan lengserkan minyak pada acuan tersebut. Nota- acuan lama ni kerap melekat, jadi biasanya orang lama tak bagi kena air. Kalau dah kena air, mungkin sebab nak basuh, sila jemur acuan di panas terik, sampai betul2 kering, kemudian baru digunakan macam biasa. Minyak yang nak lengserkan di acuan pula, bolehlah dipanaskan terlebih dahulu menggunakan kuali bersih, kemudian goreng sebiji telur dalam minyak tadi. Telur itu kemudiannya diasingkan, dan minyak ini bolehlah dibuat melengser acuan.
Acuan yang dah cukup panas berhaba, bolehlah dimasukkan adunan... dan bakar hingga kekuningan.
Selamat mencuba. Bahulu jenis ni sangat ringan dan garing kulit luarnya. Memang sedap dan asli, serta tak berminyak. Makan pun tak jemu sebab dia ringan. Selalunya bahulu makan sebiji pun dah kenyang, tapi yang ini boleh makan lebih... dengan izin Allah juga, jangan lupa tu...
Sesuai dibuat secara komersial kerana bahan2nya murah dan mudah didapati. Insya Allah, sama2lah kita berkongsi ilmu yang baik ini.
Wassalam.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Resepi Biskut Buah Kana Sedap Mudah Sukatan Cawan

Resepi Biskut Kacang Hijau Sukatan Cawan Sedap Mudah

Resepi Biskut Arab Pelangi Sukatan Cawan